Dhani Ahmad
Search this weblog
 

RSS-Feed For all categories
  Send entry via E-mail
 
To:
From:
 Send me a copy.
Text:
 

bilakah ianya akan berakhir?
oleh: Muhammad Salleh

Bilakah akan ia berakhir? Dalam dunia hari ini, mereka yang kaya menjadi semakin kaya, dan mereka yang miskin menjadi semakin miskin. Sebelum anda menutup mata malam ini, ambillah masa sebentar untuk mengingati orang di dunia kita ini - lapan ratus juta orang akan tidur walaupun kebuluran malam ini. Dan hari ini sahaja, sekurang-kurangnya lima puluh ribu kanak-kanak akan meninggal dunia akibat kebuluran - dalam erti kata lain, dua belas juta orang akan meninggal dunia setiap tahun akibat perkembangan kekayaan yang tidak seimbang. Sepuluh peratus daripada kanak-kanak di negara-negara Dunia Ketiga akan meninggal dunia sebelum harijadi kelima mereka. Dan lebih satu bilion orang kini hidup ibarat kata pepatah 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' dengan gaji satu dolar setiap hari. Dan berhadapan dengan semua ini, tiga ratus orang yang paling kaya di dunia memiliki kekayaan yang lebih daripada separuh penduduk dunia. Tidakkah ini membangkitkan rasa tidak puas hati dalam minda anda? Bagaimanakah sesiapa yang waras dapat berfikir bahawa sistem seperti ini adalah adil?

Jika anda berfikir bahawa semua ini tidak berkaitan dengan anda, fikirlah lagi. Mungkin ini merupakan sebuah idea yang selalu diperkatakan, tetapi jika anda bukan sebahagian daripada penyelesaiannya, anda adalah sebahagian daripada masalahnya. Jika anda tetap mendukung pendapat bahawa dunia kita memang adil, maka anda sebenarnya tidak menghiraukan suara lebih daripada tiga perempat penduduk dunia. Ramai orang sanggup bergoyang kaki sambil menyaksikan dunia kita mati dengan mata kita sendiri - ramai orang tidak membuat apa-apa mengenai apa-apa. Kita semua mendakwa bahawa kita menghendaki sebuah masa depan yang cerah bagi anak kita, tetapi begitu jarang sekali kita melakukan apa-apa untuk mencapai matlamat itu. Memang senang bagi kita tidak menghiraukan apa yang berlaku di dunia, memang senang kita menutup mata sesuka hati. Umat manusia semakin tenat, dan melalui ketidak-pedulian kita, anak kita tidak akan mempunyai masa depan langsung.

Dalam karya The Grapes of Wrath, John Steinbeck menulis, "Jika anda yang memiliki benda yang diperlukan orang ramai boleh memahami ini, mungkin anda dapat menyelamatkan diri anda. Jika anda dapat membezakan penyebab daripada akibat, jika anda dapat memahami bahawa Paine, Marx, Jefferson dan Lenin merupakan akibat, bukan penyebab, mungkin anda akan terselamat. Tetapi itu anda tidak dapat memahami, kerana sifat memiliki benda itu akan senantiasa membekukan anda sebagai 'saya' dan senantiasa memotong anda dari 'kita.'"

Steinbeck menujukan petikan ini kepada pihak kapitalis, iaitu mereka yang mencabuli dunia dalam mengejar duit, mereka yang sanggup menjadi gemuk di belakang kesengsaraan orang ramai. Pihak kapitalis itulah yang merampas segala harta benda daripada mereka yang bertungkus-lumus menghasilkannya. Pihak kapitalis itulah yang duduk di sebalik perusahaan-perusahaan gergasi yang telah menindas umat manusia dalam kejaran keuntungan. Merekalah perusahaan seperti McDonald's yang menyarankan globalisasi tanpa kawalan, perusahaan seperti Shell yang memusnahkan alam semulajadi, perusahaan seperti Nestle yang mementingkan keuntungan sebelum nyawa manusia, perusahaan seperti Nike yang mencabuli hak kanak-kanak di kilang-kilangnya.

Tidak percaya? Biarlah saya memberikan anda sebuah contoh: Perusahaan The Gap masih enggan membayar pekerjanya gaji yang memadai, dan masih mengerjakan pekerja bawah umur dalam keadaan yang tidak berperikemanusiaan di kebanyakan negara membangun. Kumpulan syarikat Fisher (yang menubuhkan Gap Incorporated) dilaporkan bernilai sebelas bilion dolar Amerika, dan pengerusi The Gap, Millard Drexler, dilaporkan mendapat gaji dua puluh empat ribu dolar setiap jam. Walaupun itu, mereka enggan membayar pekerja mereka gaji yang lebih (ramai daripada pekerja mereka itu bekerja untuk gaji satu dolar setiap hari). Lebih-lebih lagi, mereka enggan membiayai program pengekalan dan pemulihan hutan yang dimusnahkan oleh perusahaan mereka; dalam erti kata lain, mereka sanggup membunuh dan mencabuli alam semula jadi semata-mata mencari keuntungan. Tetapi bukan sahaja The Gap yang berbuat sedemikian - hampir setiap perusahaan kapitalis telah memperdayakan kita.

Belum mencukupi bagi anda? Timbanglah fakta ini - lebih empat ratus juta orang di dunia hidup di bawah pemerintahan rejim diktator atau rejim ketenteraan yang dibiayai oleh perusahaan multinasional. Mengapa? Perusahaan-perusahaan tersebut mendapat keuntungan besar dan tenaga pekerja yang murah daripada rejim-rejim tersebut. Masih belum mencukupi? Perbelanjaan bagi senjata dan tentera di seluruh dunia kini melebihi tujuh ratus bilion dolar setiap tahun. Alangkah baiknya jika kita mementingkan nyawa manusia sebagaimana kita mementingkan membunuh manusia. Negara-negara maju di dunia membelanjakan lebih kurang lima puluh bilion dolar setiap tahun untuk makanan haiwan jinak dan minyak wangi - duit sebanyak itu dapat membiayai program pendidikan, makanan, kesihatan dan pengairan bagi mereka yang sekarang belum menikmati infrastruktur seperti itu� dengan baki lebih sepuluh bilion dolar. Dan Bill Gates seorang dapat membiayai pendidikan, kesihatan dan bekalan air yang bersih bagi empat juta orang di dunia yang belum menikmati kemakmuran itu� dan dia tetap seorang jutawan selepas itu.

Bukalah mata anda! Setiap langkah yang pernah diambil untuk meningkatkan keadaan pekerja, menaikkan gaji, masa bekerja yang lebih pendek, hak kanak-kanak, hak wanita, hak kumpulan minoriti - semuanya ditentang oleh penyokong kapitalisme. Semasa setiap aksi mogok atau demonstrasi, mereka yang memegang kuasa keluar seperti biasa untuk mewakilkan tuan mereka yang tamak serta menyelamatkan harta mereka, untuk menjaga kekayaan kumpulan elit itu. Media massa pula mengisi minda kita dengan sampah-sarap mengenai penyanyi gemaran ramai, atau di mana kedai terbaru Starbucks and dibuka, dan isu-isu penting pula dilupakan. Bukalah akhbar harian dan anda tidak akan dapat membaca perdebatan mengenai isu-isu ini. Pasangkan television dan anda diserang oleh karut-marut mengenai fesyen terbaru dan sensasi remaja yang paling memberahikan. Setiap bahan propaganda yang kita mendengar memberitahu kita bahawa sistem kapitalisme memang berjaya, bahawa kita hidup dalam sebuah sistem demokrasi di mana hak setiap individu terjamin. Fikirlah mengenai itu sebentar. Kita bukannya hidup dalam sebuah demokrasi, lebih tepat dikatakan kita hidup dalam sebuah plutokrasi - kita hidup dalam masyarakat di mana kekayaan berhaluan ke atas, ke dalam poket pengusahawan kapitalis tamak, yang kemudiannya mengawal apa yang kita dengar, lihat dan cakap.

Terdapat begitu banyak benda yang kita dapat beli, begitu banyak untuk dibelanjakan, sehingga kita tidak berfikir lagi. Bagi ramai orang, sistem ini tidak dapat diubahkan lagi. Tidak ada guna bertanya jika kita menyukai sistem kapitalis ini, kerana ia tidak dapat dihancurkan. Dewasa ini, terdapat penekanan untuk membeli dan mengguna, untuk memiliki kereta yang paling mewah, rumah yang paling besar dan pekerjaan yang paling lumayan. Pada pilihanraya yang seterusnya, kita akan mengundi untuk calon yang menyajikan kita tawaran yang paling hebat. Tetapi sistem kapitalis ini sebenarnya hanya menolong segelintir manusia dan dengan perlahan-lahan membunuh kesemua orang yang lain. Kemanakah hilang kemoralan kita? Sejak bilakah kita tidak lagi mempersoalkan kesemua yang zalim dalam dunia ini? Kemanakah hilang nilai yang kita pernah pegang suatu masa dahulu? Kapitalisme hanya membantu segolongan manusia yang kecil - ia tidak menolong mereka yang miskin, para pekerja, para petani, penghijrah ke bandar� senang kata, ia tidak menolong majoriti manusia.

Revolusi menentang sistem zalim ini sudah bermula. Ia merupakan sebuah revolusi yang berpotensi mengubah segala yang salah dengan dunia kita. Saya tidak peduli jika anda berfikir bahawa kesemua yang ditulis di atas ini karut atau tidak penting. Revolusi telah bermula, dan saya sedang membuat apa yang saya dapat. Saya sekadar mencuba mengubah ketidak-adilan yang saya dapat lihat. Bukankah itu yang penting? Keamanan, kasih sayang dan kehormatan. Nyawa sebelum keuntungan, kasih sayang sebelum modal, keamanan sebelum peperangan, kehormatan sebelum kekayaan. Nyawa manusia sebelum apa-apa lagi.

Apa yang dapat anda lakukan? Sebagai permulaan, jika anda percaya dengan apa-apa yang anda baru baca ini, tolong sebarkan petikan ini kepada sesiapa yang anda kenali. Dan sertailah revolusi untuk menamatkan kapitalisme. Carilah jawapan anda yang tersendiri dan janganlah percaya dengan buta apa yang penguasa kapitalis itu menyarankan anda percaya. Jika anda benar-benar ingin mencipta sebuah masa depan yang cerah bagi anak-anak kita, maka perjuangan mesti bermula SEKARANG. Berdirilah untuk apa yang anda pentingkan dan bebaskan anak-anak kita sebelum mereka menjadi hamba sistem kapitalis. Seperti yang pernah dikatakan oleh penulis dari India, Arundhati Roy, "Mungkin abad ke-21 akan menyaksikan kebinasaan yang Besar. Bom besar, empangan besar, wira besar, kesalahan besar. Mungkin ia akan menjadi abad untuk orang kecil."

Jangan sekali-kali menafikan kekuatan individu - anda boleh membuat pengubahan.
 

 
   
« June 2006 »
Su Mo Tu We Th Fr Sa
. . . . 1 2 3
4 5 6 7 8 9 10
11 12 13 14 15 16 17
18 19 20 21 22 23 24
25 26 27 28 29 30 .